MUAR - Seorang pengawal Keselamatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, ditahan dan dihantar ke wad psikiatri selepas didakwa memukul seorang wanita hamil yang juga pesakit hospital terbabit, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin, pengawal keselamatan yang dipercayai mempunyai masalah mental itu dikatakan berbual dengan wanita hamil terbabit yang berkerusi roda untuk ke wad bersalin.
Bagaimanapun, insiden itu berlaku semasa suami mangsa meninggalkan seketika mangsa bersama pengawal keselamatan itu ke tempat letak kereta untuk mengambil barang.
Suspek mengambil peluang itu untuk menghantar mangsa ke wad bersalin dengan menaiki lif.
Tanpa diduga ketika berada di dalam lif, suspek dikatakan menumbuk mangsa dan mangsa mengadu kepada jururawat sejurus tiba di wad bersalin.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu.
Manakala, Pengarah HPSF, Dr Ahmad Pauzi Abu berkata, pengawal keselamatan terbabit dihantar ke wad psikiatri untuk pemerhatian selepas mendakwa melihat syaitan berdekatan dengan mangsa.
Menurutnya, siasatan awal menunjukkan lelaki itu menderita masalah mental dan bernasib baik mangsa tidak cedera.
“Mangsa selamat melahirkan anak beberapa jam selepas itu,” katanya.
Sumber:Sinar Harian